
WRUR: PASTIKAN ADUAN RAKYAT DIPANTAU, DISELESAI SECARA MENYELURUH
SERI NEGERI 30 April – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diminta supaya terus melakukan pemantuan berhubung perkembangan aduan diterima menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) agar semua isu dibangkitkan dapat diselesaikan secara menyeluruh.
Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, meskipun ada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sudah selesai pelaksanaan program itu ia tidak bermakna tanggungjawab Adun berkenaan sudah selesai atau aduan diterima boleh diambil ringan.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, semangat untuk melancarkan urusan rakyat sepanjang pelaksanaan WRUR di DUN masing-masing, perlu terus segar dalam jiwa setiap Adun.
“Bagi sesetengah DUN mungkin ada aduan belum selesai, jadi Adun berkenaan perlu terus memantau ambil tahu perkembangan tindakan yang sudah diambil agensi atau jabatan berkenaan.
“Sekiranya boleh, jika dapat diselesaikan (aduan) sebelum pembubaran DUN adalah lebih baik,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Menurut Fairul Nizam, sekiranya sesuatu aduan yang hendak diselesaikan memerlukan peruntukan yang besar perkara itu boleh dikemukan untuk dibincangkan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Melaka.
“Sekiranya memerlukan bajet yang tinggi khususnya membabitkan peruntukan di peringkat persekutuan kita akan membawa hal ini untuk dibincangkan bersama sebelum dibawa dan dimasukkan ke Rancangan Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


