Pertandingan memancing, memasak Sungai Melaka 2024 terima 1,250 penyertaan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Februari – kira-kira 1,250 peserta mengambil bahagian dalam acara memancing dan memasak pada Pertandingan Memancing Sungai Melaka dan Memasak Ikan Air Tawar/ Sungai 2024 di Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata seramai 1,200 peserta mengambil bahagian dalam acara memancing, sementara itu 50 lagi menunjukkan kehebatan memasak.

Katanya, pertandingan itu adalah program besar kelima yang dilaksanakan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Hadiah keseluruhan bagi pertandingan ini adalah lebih RM100,000. Hadiah wang tunai bernilai RM80,000 yang ditawarkan selain 150 cabutan bertuah.

“Hadiah utama bagi pertandingan memancing adalah wang tunai sebanyak RM30,000; kedua RM7,000 dan ketiga RM3,000.

“Manakala, hadiah utama bagi kedua-dua kategori pertandingan memasak adalah RM1,000, bagi johan tempat kedua RM500 dan ketiga RM300,” katanya, ketika berucap merasmikan majlis itu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan timbalannya, Datuk Zaidi Attan; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta kenamaan lain.

Johan pertandingan memancing milik Mohd Ridzwan Ismail yang berjaya mendaratkan haruan seberat 1.295 kilogram (kg); kedua Nur Anwar Samat dengan ikan bandaraya seberat 0.905kg dan tempat ketiga Omar Ismail yang berjaya menaikkan ikan tilapia seberat 0.665kg.

Sementara itu johan bagi pertandingan memasak kategori traditional cuisine milik Masturah Rasimin, manakala kategori ‘modern cuisine’ pula dirangkul oleh Nur Hazwan Abu Hassan.

Pada majlis tersebut, Ketua Menteri turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah bot bernilai RM6,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3652
Kongsi :
Previous post TMM2024: PPSPM sasar 1 juta orang naik Melaka River Cruise
Next post Rezeki anak ketiga, tentera menang RM30,000
Ubah saiz-+=