Rezeki anak ketiga, tentera menang RM30,000

Masa Membaca:58 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Februari – Ikan haruan seberat 1.295 kilogram (kg) membawa tuah kepada penjawat awam, Muhammad Ridwan Ismail, 34, apabila diumumkan sebagai Juara Pertandingan Memancing Sungai Melaka 2024.

Atas kemenangan itu Muhammad Ridwan yang merupakan seorang tentera, membawa pulang hadiah utama pertandingan bernilai RM30,000 yang dianggap sebagai rezeki anak ketiganya yang dijangka akan lahir Jun ini.

“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki untuk anak ketiga, memang tidak sangka akan menang kerana bersaing dengan ramai lagi kaki pancing lebih berpengalaman dan hebat-hebat belaka.

“Pada mulanya saya hanya berjaya mendaratkan tilapia bersaiz kecil, namun atas nasihat rakan saya kemudian menukar umpan menggunakan anak ikan.

“Kemudian barulah dapat ikan bersaiz lebih besar, lebih mengejutkan tangkapan saya diumumkan yang paling berat,” katanya ketika ditemui di lokasi pertandingan di Pengkalan Rama, di sini, semalam.

Dia yang tinggal di Sungai Udang, kerap menghabiskan masa memancing di sungai, namun hanya untuk suka-suka sahaja.

“Kemenangan ini adalah untuk kali kedua bagi diri saya. Namun kali ini hadiah dimenangi adalah yang paling besar sepanjang mengambil bahagian dalam pertandingan memancing sungai dan ikan air tawar sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

989
Kongsi :
Previous post Pertandingan memancing, memasak Sungai Melaka 2024 terima 1,250 penyertaan
Next post Joran nyaris dilarikan ‘bandaraya’
Ubah saiz-+=