Pertembungan pemain otai negara

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TANJUNG KLING 16 Okt. – Kemunculan beberapa legenda bola sepak negara termasuk Datuk Wira Soh Chin Ann yang turun beraksi di padang ketika menentang kumpulan Melaka Club menggamatkan suasana di Kompleks Sukan Melaka Club, Tanjung Kling, hari ini.

Anak jati Melaka yang dinobat pemilik kap (penampilan) antarabangsa terbanyak FIFA itu menyarung jersi 28 bagi mewakili skuad KB Lagenda dalam perlawanan itu.

Ternyata legenda bola sepak negara itu masih berbisa dan bertenaga di atas padang biarpun tahap kesihatannya difahamkan sedikit merosot.

Selain Chin Ann, antara bekas pemain yang turut mencuri perhatian ialah Wong Kou Foo, Ching Hong Aik, Ng Joon Tai, Ramli Junid, Samsurin Abdul Rahman dan ramai lagi.

Penganjur perlawanan, Mike Thein, 60, berkata perlawanan yang berlangsung hari ini adalah untuk meraikan kejayaan Chin Ann kerana memenangi penampilan terbanyak sepanjang penglibatannya dalam sukan bola sepak.

“Kita sangat berbangga dengan pencapaian anak jati Melaka yang diangkat sebagai pemilik kap antarabangsa terbanyak dengan 195 penampilan.

“Perlawanan yang dianjurkan ini adalah cara kita untuk menghargai jasa dan pengorbanan beliau yang suatu ketika dahulu mengharumkan nama negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sebagai rekod, Chin Ann bukanlah nama asing dalam arena bola sepak kerana kejayaan beliau membantu negara sehingga layak ke temasya Olimpik pada tahun 1972 dan 1980, walaupun negara menarik diri dari temasya tahun 1980.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1199
Kongsi :
Previous post Pekerjaan Kalam: Communicating literatures across the Archipelago
Next post Aliran trafik masuk Melaka lancar
Ubah saiz-+=