Pertembungan tiga penjuru boleh dielakkan – PAS Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MELAKA 31 Okt – Pertembungan tiga penjuru antara UMNO, Bersatu dan PAS mampu dielakkan berdasarkan usaha sedang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek.

Beliau berkata, PAS negeri yakin Ismail yang juga Naib Presiden UMNO mampu merealisasikan usaha mengelakkan pertembungan itu demi kelangsungan politik masyarakat Melayu dan Islam.

Katanya, PAS sentiasa cuba mengelak perkara berkenaan berlaku kerana ia akan hanya merugikan anggota masyarakat Melayu dan Islam.

“Kami menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO (Ismail Sabri) itu kerana kita memang ingin melihat penyatuan Melayu dan Islam itu bukan sekadar retorik.

“Jika semua pihak berusaha ke arah itu, insya-Allah umat Melayu dan Islam mampu menjadi kesatuan yang kukuh dan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, komitmen Ismail bakal menjadikan hasrat PAS ingin melihat satu lawan satu antara Barisan Nasional/Perikatan Nasional (BN/PN) menentang Pakatan Harapan (PH) sebagai suatu kenyataan.

Semalam Ismail dilaporkan berkata, UMNO dan BN akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu pada PRN Melaka.

Ismail dilapor sedang mengadakan rundingan dengan PAS dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya mampu dielakkan serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka selaras mandat yang diberi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, setakat ini perbincangan pembahagian kerusi antara PAS dengan Bersatu Melaka sudah mencapai 90 peratus dan bakal dimuktamadkan beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, beliau mengakui belum ada lagi perbincangan secara formal antara PAS dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN 20 November ini.

Katanya, sementara menunggu perbincangan secara formal dengan UMNO, PAS sudah menyusun strategi dan gerak kerja bagi memastikan jentera parti itu bersedia menghadapi PRN.

Katanya lagi, PAS Melaka juga sedang menunggu keputusan mesyuarat Majlis Syura PAS Pusat hari ini dan bakal mengatur langkah seterusnya berdasarkan arahan PAS Pusat.

“Antara lain, mesyuarat itu dijangka membincangkan aspek penggunaan logo PAS dalam PN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post Sasar 15 peratus sumbangan PKMS 2025
Next post Sulaiman teruskan rutin dengar denyut nadi rakyat
Ubah saiz-+=