Sasar 15 peratus sumbangan PKMS 2025

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 31 Okt – Daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera dipertingkatkan bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2025.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia kerana golongan Bumiputera turut memainkan peranan yang penting dalam aspek memacu ekonomi negara.

“Pencapaian itu akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu termasuk memastikan penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital.

“Saya harap usahawan Bumiputera terus menyerlahkan potensi masing-masing tidak kira dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi.

“Manfaatkan peluang dan sumber yang ada untuk harumkan nama Malaysia bukan saja di pasaran tempatan, malah persada antarabangsa melalui pengeksportan produk tempatan,” katanya.

MUHYIDDIN menyerahkan replika Geran Pendigitilan PKS RM5,000.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Seminar Pendigitalan Perniagaan, Perasmian Produk Smart Bio Sureco dan Buletin Yayasan Penggerak Wawasan di Ayer Keroh D’Village Resort, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Belia Negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohidden, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Rahim Tamby Chik dan lain-lain kenamaan.

Ujarnya, kesungguhan dan komitmen semua pihak khususnya usahawan tempatan Bumiputera akan mampu bersaing dengan usahawan negara maju.

“Kerjasama dan jaringan perniagaan perlu diperkukuhkan dalam kalangan peniaga tempatan dan Bumiputera bagi mewujudkan sebuah komuniti perniagaan yang berdaya saing dan melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi menyokong agenda digitalisasi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerajaan semasa kepimpinannya telah menyediakan bantuan geran padanan sehingga RM5,000.

“Ia bagi pembelian sistem atau langganan platform digital selain kemudahan mikrokredit yang disediakan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank.

“Saya harap semua dana ini dapat memenuhi keperluan PKS dan PMKS dalam menggerakkan semula perniagaan masing-masing.

“Kini semakin banyak PMKS menjalankan perniagaan dalam talian yang memberi sumber pendapatan baharu dan peluang pekerjaan sekali gus menyumbang kepada ekonomi digital negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post UK sumbang 20 juta dos vaksin Astrazeneca pada negara miskin
Next post Pertembungan tiga penjuru boleh dielakkan – PAS Melaka
Ubah saiz-+=