Pertukaran calon BN saat akhir atas semangat BN – Hasni

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

JOHOR BAHRU, 28 Feb – Pertukaran saat akhir calon Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan atas semangat parti gabungan itu, kata Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad.

Katanya tindakan itu setelah BN mengambil kira beberapa perkara termasuk representasi wanita, orang muda serta kelulusan akademik yang merupakan antara komponen penting dalam membuat keputusan pemilihan calon.

“Pertukaran saat akhir adalah di atas semangat BN. Parti-parti seperti MCA juga mengubah senarai calon mereka, MIC juga berbuat yang sama.

“Tentunya UMNO perlu membuat penyesuaian apabila kita telah memuktamadkan pengagihan kerusi-kerusi antara parti-parti dalam BN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Senai di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertukaran calon BN yang dilaksanakan pada saat akhir.

BN melakukan pertukaran calon pada saat-saat akhir melibatkan kerusi DUN Sungai Balang dan DUN Tanjung Surat.

Sebelum ini BN mengumumkan Mohd Helmi Abdul Latif sebagai calon bagi DUN Sungai Balang sebelum menukarnya kepada Selamat Takim, manakala bagi DUN Tanjung Surat, Aznan Tamim diumumkan sebagai calon menggantikan Datuk Syed Sis Abd Rahman.

Aznan merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengerang.

BN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan 37 daripada calon itu adalah dari UMNO, MCA (15) dan MIC (empat).

Mengenai kempen BN pada PRN Johor ini, Hasni berkata jentera parti masih belum bergerak sepenuhnya ketika ini dan mereka akan mendekati pengundi secara berperingkat berdasarkan kajian di lapangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor adalah 12 Mac manakala pengundian awal pada 8 Mac.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

813
Kongsi :
Previous post Abdul Taib sambung khidmat sebagai TYT Sarawak
Next post Permohonan subsidi penternak ayam daging dan penelur dibuka hari ini
Ubah saiz-+=