Permohonan subsidi penternak ayam daging dan penelur dibuka hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PUTRAJAYA, 28 Feb – Kerajaan membuka permohonan subsidi untuk penternak ayam pedaging dan ayam penelur mulai hari ini (28 Feb) hingga 6 Jun depan, melibatkan pengeluaran ayam daging dan telur yang dihasilkan bermula 5 Feb hingga 5 Jun depan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kadar pemberian subsidi adalah sebanyak RM0.60/kg bagi ayam pedaging dan RM0.05/biji bagi telur gred A, B dan C melibatkan penternak persendirian, penternak integrator atau semi-integrator dan juga penternak kontrak.

Sebanyak RM528.52 juta disediakan untuk tujuan subsidi tersebut dengan dianggarkan 2,255 penternak bakal menikmati subsidi berkenaan dan pembayaran subsidi akan disalurkan terus ke akaun penternak melalui Agrobank, menurut MAFI dalam kenyataan itu.

“Pihak MAFI akan membuat penilaian ke atas pemberian subsidi bagi memastikan proses pembayaran subsidi dapat berjalan dengan lancar dan semua penternak yang terlibat dapat menggunakan subsidi ini bagi meningkatkan kapasiti operasi ladang dan menjamin bekalan ayam dan telur berterusan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan amat berharap pemberian subsidi itu dapat meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

“MAFI percaya langkah intervensi kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak akan dapat menstabilkan kembali bekalan sekali gus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Permohonan subsidi boleh dilakukan di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang terdekat dengan ladang penternak, manakala borang dan garis panduan permohonan boleh didapati melalui portal rasmi JPV (https://www.dvs.gov.my/index.php/announcements/view/105).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1119
Kongsi :
Previous post Pertukaran calon BN saat akhir atas semangat BN – Hasni
Next post Isu vaksin: Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 3 Mac ini
Ubah saiz-+=