Piala Asia: ‘Malaysian Tigress’ atasi Singapura 2-0

Masa Membaca:58 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Skuad Hoki Projek Khas Wanita Kebangsaan bangkit daripada kekecewaan pada aksi sulung, untuk menewaskan Singapura 2-0 pada aksi kedua Piala Asia 2022, di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman malam tadi.

Skuad ‘Malaysian Tigress’ yang dibenam 9-0 oleh juara bertahan India pada Jumaat dalam perlawanan Kumpulan A, membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Fatin Shafika Mahd Sukri yang bijak menyudahkan flik pukulan sudut penalti daripada kapten Juliani Mohamad Din.

Pasukan muda Malaysia yang sedang memburu pengalaman dan pendedahan itu, terus menambah jaringan seminit kemudian menerusi satu lagi pukulan sudut penalti daripada pemain berpengalaman, Nuraini Abdul Rashid.

Perlawanan itu juga menyaksikan Fatin Shafika dipilih selaku pemain terbaik, menurut kenyataan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Skuad kendalian Mohamed Nasihin Nubil Ibrahim itu akan melengkapkan jadual peringkat kumpulan berdepan aksi getir menentang Jepun pada malam ini.

Jepun yang berjaya mengejutkan India, yang meraih tempat keempat di Olimpik Tokyo 2020, dengan kemenangan 2-0, menduduki tangga teratas dengan enam mata, diikuti India (3), Malaysia (3) dan Singapura tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke pusingan separuh akhir.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

724
Kongsi :
Previous post Harga akhbar lama naik 60 kali ganda
Next post PRN Johor : UMNO sasar tanding 42 kerusi – Mohamad
Ubah saiz-+=