Piala Malaysia: MU berkobar-kobar mahu ke separuh akhir

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 27 Okt. – Melaka United tidak gentar meskipun berdepan kemungkinan diundi bertemu pasukan lebih kuat untuk kempen Piala Malaysia 2020 yang dijadual bermula pada 6 November depan.

Pengurus Pasukannya Muhammad Akram Abdullah berkata, pasukannya kini sudah menunjukkan kesediaan untuk menghadapi mana-mana pasukan yang terpilih untuk ditentang pada pusingan pertama nanti.

Jelasnya, melihat kepada persiapan dan semangat berkobar-kobar pasukan, pihaknya optimis skuad Hang Tuah mampu untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

“Nak elak pasukan kuat? Bagi saya tidak…Kami bersedia menghadapi mana-mana pasukan yang diundi menentang kami di pusingan pertama nanti nanti.

“Melihat kepada momentum dan moral terkini pemain, insyaAllah, kita menyasarkan untuk sekurang-kurangnya menjadi empat pasukan terbaik dalam saingan kali ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Untuk rekod, menjelang undian kumpulan Piala Malaysia nanti, Melaka United diletakkan di dalam balang B bersama-sama Pahang, UiTM/PJ City FC, Sabah, Felda United, Kelantan, Kuching FA dan Kelantan United.

Manakala, balang A menempatkan pasukan-pasukan yang berada di kedudukan teratas liga iaitu Johor Darul Ta’zim, Kedah, Terengganu FC, Perak, Selangor serta juara dan naib juara Liga Premier, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Format tahun ini menyaksikan perbezaan ketara berbanding edisi terdahulu yang mana tiada lagi saingan peringkat kumpulan apabila kesemua 16 pasukan akan beraksi dalam pusingan kalah mati termasuk suku akhir dan separuh akhir.

Untuk pusingan pertama, pasukan yang berada dalam balang A sebagai tuan rumah akan diundi menentang pasukan dalam balang B. Sesi undian pusingan pertama akan diadakan pada 1 November depan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemungkinan saingan Piala Malaysia tahun ini dibatalkan ekoran peningkatan mendadak kes positif COVID-19, Muhammad Akram berkata, pihaknya sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

“Kami bersikap terbuka (seandainya saingan Piala Malaysia dibatalkan). Ini kerana kami juga inginkan yang terbaik untuk semua pihak.

“Melihat kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Lembah Klang, kami turut bersimpati dengan pasukan-pasukan yang bertapak di sana. Apa pun kita doakan yang terbaik untuk semua,” ujarnya.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Hina Nabi Muhammad: Menteri Agama kirim surat kepada Duta Perancis
Next post Seorang maut kapal Dayang Topaz karam di Kuala Baram
Ubah saiz-+=