Pit Stop MRC, pengangkutan alternatif ke lokasi pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

PENGKALAN RAMA 23 Okt – Produk pelancongan terbaharu, Pit Stop Melaka River Cruise (MRC) yang dilancarkan hari ini mampu menjadi pengangkutan alternatif untuk ke lokasi pelancongan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bandar Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, menerusi produk terbaharu itu, PPSPM menyediakan 14 jeti pada peringkat pertama pelancarannya sebelum menambah 14 lagi pada fasa kedua.

Katanya, dengan tawaran harga pada RM40 bagi dewasa dan RM25 kanak-kanak, produk berkenaan mampu memberi manfaat kepada pelancong serta kemudahan pengangkutan kepada penduduk tempatan untuk ke lokasi pelancongan.

“Pakej pit stop ini memberi kemudahan kepada pelancong, orang tempatan juga kita galakkan juga yang mana apabila mereka membeli paket Pit Stop ini, mereka boleh menggunakan perkhidmatan bot selama satu hari dari pagi hingga malam.

“Contohnya, mereka naik dan berhenti di Kampung Morten, mungkin mereka akan berjalan sekeliling kawasan kampung itu dan kemudian tunggu di jeti itu semula untuk pergi ke destinasi lain.

“Kemudian, jika mereka mahu pulang berehat di hotel The Shore, mereka boleh berhenti di jeti hotel berkenaan.

“Itu (Pit Stop MRC) adalah salah satu kemudahan kepada pelancong yang boleh digunakan sebagai alternatif terbaik untuk mengelakkan kesesakan kerana jajaran Sungai Melaka ini memang berada dalam kawasan bandar serta berhampiran di pusat-pusat pelancongan,” katanya.

MURAD

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pakej Pit Stop Melaka River Cruise dan Asahan Coffee Kiosk yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad, di Jeti Taman Rempah, di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Abd Aziz Enggan, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Saari Basiron dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Murad berkata, produk pelancongan itu juga mampu memberikan kesan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Maknanya, dengan adanya jeti yang disediakan ini, penduduk setempat akan mengambil kesempatan untuk mewujudkan ekonomi baharu di kawasan tersebut.

“Contohnya di Kampung Morten, bila ada jeti di kawasan itu pelancong akan sentiasa singgah di jeti berkenaan, secara tidak langsung menambahkan aktiviti ekonomi baharu seperti kedai makanan dan sebagainya kepada penduduk tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post Melaka River Cruise henti operasi buat sementara waktu
Next post PM tidak mahu amalan lantik kontraktor penyelamat terus berlaku
Ubah saiz-+=