PKP 2.0 : Peniaga gembira diberi kelonggaran

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 10 Feb. – Pembukaan semula kedai kraftangan serta kebenaran makan di dalam premis kepada pelanggan bermula hari ini, memberi kelegaan buat golongan peniaga yang terkesan dari segi pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan di negeri ini mulai 11 Januari.

Peniaga kedai kraftangan, Kamsiah Karim,35, bersyukur apabila kerajaan bersetuju bagi sektor peruncitan seperti kedainya dapat beroperasi semula.

“Memang rasa lega bila dah boleh buka kedai hari ini, tapi nak dapat ramai pelanggan memang tak boleh…cuma dapatlah niaga dari tiada langsung.

“Masa PKP pertama dulu saya buat kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD), alhamdulillah sambutan baik tapi tidak semeriah niaga di kedai,” katanya ketika ditemui MHI.

Peniaga kedai makan, Noor Asmah Mohd Said,57, berkata keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu ‘umpama bulan jatuh ke riba’ kerana tidak terlintas boleh meneruskan perkhidmatan makan di premis semasa PKP 2.0.

NOOR Asmah

“Dulu PKP pertama memang tak niaga langsung, perintah kawalan pun sangat ketat, alhamdulillah kali ini kerajaan faham denyut nadi rakyat dan membenarkan sektor niaga serta boleh makan di premis.

“Walaupun cuma dua orang satu meja, ternyata pelanggan sangat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, malah ada yang lebih gemar untuk bungkus sahaja dari makan di kedai,” katanya.

Semalam, kerajaan membuat keputusan membenarkan pelanggan makan di premis makanan mulai hari ini.

Bagaimanapun, kebenaran itu terhad hanya dua orang bagi satu meja dan perlu mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

PENIAGA lega pelanggan dibenarkan makan di premis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, tempoh operasi premis makanan pula antara jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Kerajaan bersetuju membenarkan restoran menyediakan perkhidmatan makan di dalam premis kepada pelanggan berkuat kuasa esok (hari ini), namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Views:

379
Kongsi :
Previous post Amir Hamzah Azizan dilantik CEO KWSP baharu berkuat kuasa 1 Mac ini
Next post MTA bantu 13 penghuni terkesan insiden kebakaran
Ubah saiz-+=