PKP penuh: 15 SJR, 19 pasukan pemantauan – Polis Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PAYA RUMPUT 1 Jun – Polis Melaka menambah empat sekatan jalan raya (SJR) dan sembilan pasukan pemantauan daripada sebelum ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sepenuhnya bermula hari ini.

Penambahan itu sebagai usaha pasukan penguatkuasaan berkenaan mempertingkatkan pemantauan dan pengawasan orang ramai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sepanjang tempoh itu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, bilangan SJR ditambah daripada kepada 15 berbanding 11 sebelum ini dengan kekuatan anggota 171 orang.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin

Katanya, ia termasuk penambahan SJR bergerak atau ‘mobile’ sebanyak lapan berbanding sebelum ini yang lokasinya berubah mengikut keadaan semasa.

“Pemeriksaan secara mengejut turut dilaksanakan pasukan pemantauan SOP membabitkan pegawai dan anggota berpakaian preman dengan penambahan daripada 10 sebelum ini kepada 19 pasukan dengan kekuatan seramai 80 orang.

“Manakala bagi pasukan pematuhan SOP ditingkatkan daripada 707 kepada 821 orang.

“Kedua-dua pasukan ini bertindak memantau lokasi tumpuan orang ramai termasuk premis perniagaan, rumah ibadah, pasar raya, taman rekreasi dan pejabat kerajaan selain pemeriksaan di kawasan luar bandar termasuk laluan tikus,” katanya.

MOHD Hedzir turut melakukan pemeriksaan di SJR AMJ berhampiran Paya Rumput.

Beliau berkata demikian selepas meninjau SJR di Lebuh Raya Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) berhampiran Paya Rumput di sini malam tadi yang turut dihadiri Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.

Mengulas lanjut, Mohd Hedzir berkata, bagi jumlah keseluruhan pegawai dan anggota yang terlibat dalam penugasan pelbagai aspek termasuk SJR, pasukan pemantauan dan pematuhan serta kawalan keselamatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah seramai 1,122 orang.

Jelasnya, sejak pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula 25 Mei lalu, rakyat di negeri ini terus mematuhi SOP pelaksanaan perintah berkenaan dengan kadar pematuhan 96 peratus.

“Rakyat di negeri dinasihatkan terus berada di rumah jika tiada keperluan demi memastikan kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 daripada merebak,” katanya.

MOHD Hedzir (kanan) turut melakukan pemeriksaan di SJR AMJ berhampiran Paya Rumput

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

758
Kongsi :
Previous post Hanya 12 jemaah solat fardhu, solat Jumaat di Melaka
Next post Netizen setuju sekatan pergerakan penuh dapat kurangkan kes COVID-19
Ubah saiz-+=