PKPD Lubok Redan: Jalan utama ‘sepi’

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MASJID TANAH 16 Mei –  Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Lubok Redan, di sini, yang bermula hari ini menyaksikan suasana jalan utama pintu masuk di persimpangan Kampung Jeram – Masjid Tanah kelihatan lengang sejak awal pagi tadi.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati, keadaan di lokaliti empat perkampungan yang menggunakan jalan raya utama itu kekal sepi.

Bagi lokasi PKPD  Kampung Lubok Redan di mana kampung ketiga yang perlu melepasi Kampung Jeram dan Kampung Pulau mendapati sepanjang hampir tiga meter kawat duri telah dipasang menutupi sepanjang jalan di sempadan kampung itu.

Beberapa anggota dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah ditugaskan mengawal kawasan tersebut.

Menurut salah seorang anggota bertugas berkata, sejak ditugaskan jam lapan pagi tadi, hanya beberapa kenderaan luar tiba di kawasan itu dan telah diarahkan berpatah balik.

“Ada kenderaan yang masuk kebanyakannya orang luar yang tidak mengetahui keadaan di sini, ada juga yang tahu tapi sengaja memandu ke sini sehingga diarah berpatah balik.

“Setakat ini ramai penduduk yang peka dengan perintah ini dan kawalan ketat juga telah dijalankan di dua pintu sempadan kampung ini sejak tengah malam tadi” katanya.

Baru baru ini kerajaan mengumumkan PKPD di kampung itu selama 14 hari bermula hari ini (16 Mei) sehingga 29 Mei depan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.

Keadaan terbabit berikutan sebanyak 56 kes positif direkodkan di kampung berkenaan daripada 165 ujian saringan yang dijalankan bagi Kluster Kampung Hilir.

Perkara itu menyumbang 34 peratus daripada keseluruhan kes positif Kluster Kampung Hilir yang telah merebak sehingga 10 kilometer radius di lokaliti perkampungan terbabit.

Sehingga kini, seramai 730 penduduk di kampung berkenaan kini tidak dibenarkan keluar dan masuk bagi mengehadkan pergerakan dan memutuskan rantaian wabak tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

933
Kongsi :
Previous post Pusat beli-belah Melaka ‘lengang’
Next post PKPD Lubok Redan libatkan 151 kediaman
Ubah saiz-+=