PM arah semua aset keselamatan digerak bantu mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

PUTRAJAYA 18 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua kementerian berkaitan untuk menggerakkan aset ke kawasan terjejas banjir.

Beliau memaklumkan telah berhubung dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi menggunakan aset pasukan keselamatan terbabit bagi tujuan pemindahan mangsa banjir.

Aset itu juga, katanya bagi memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka juga mempunyai maklumat mangsa banjir dan pengumpulan maklumat ini dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan.

“Saya juga telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi-agensi terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut meminta Keluarga Malaysia yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.

“Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah-langkah dan tindakan yang dilaksanakan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

785
Kongsi :
Previous post Rauf prihatin nasib mangsa banjir Melaka
Next post Mohamad Ali rasmi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu
Ubah saiz-+=