Sorting by

×

PM tiba di Melaka, rai pengamal media

Masa Membaca:57 Saat

BANDA HILIR 29 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selamat tiba di Melaka bagi merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA 2022).

Ketibaannya kira-kira jam 2.40 petang tadi disambut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, dan lain-lain kenamaan.

Beliau dijangka menyempurnakan perasmian HAWANA 2022 yang bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ yang akan disiarkan secara langsung.

Selain perasmian oleh perdana menteri, HAWANA 2022 juga bakal menyaksikan Deklarasi Melaka 2022 dibacakan.

Deklarasi itu mengandungi pandangan dan hasrat wartawan serta aspirasi mereka dalam melaksanakan tugasan serta peranan bersama-sama dalam membangun negara.

Acara kemuncak yang akan diadakan di Hotel Hatten ialah penyampaian Anugerah HAWANA 2022 kepada wartawan profesional/individu/organisasi yang memberi sumbangan besar, bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya dihasilkan.

Lebih 700 pengamal media Malaysia termasuk wakil dari Indonesia dan Vietnam hadir pada HAWANA 2022 yang diadakan tahun ini.

Untuk rekod, tarikh 29 Mei ditetapkan sebagai sambutan Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

800
Kongsi :
Previous post Program silat perlu diteruskan, simbolik perpaduan masyarakat – PM
Next post Bahan berita perlu terima bayaran setimpal di platform digital
Ubah saiz-+=