PN kekal pendirian tak sertai kerajaan, main peranan pembangkang berwibawa

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH), walaupun selepas ditawarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan pimpinan beliau.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas tawaran berkenaan namun menolaknya atas semangat menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen.

“PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

“Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada sidang media sulung perdana menteri malam tadi, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) setakat ini, akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap dalam sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di Putrajaya pagi tadi pula, Anwar berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Anwar berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

753
Previous post MEVB rancang keluarkan motosikal elektrik dengan 75 peratus teknologi UTeM
Next post Anwar tidak pertimbangkan pegang jawatan Menteri Kewangan ketika ini