Anwar tidak pertimbangkan pegang jawatan Menteri Kewangan ketika ini

PUTRAJAYA, 25 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempertimbangkan untuk memegang jawatan Menteri Kewangan ketika ini dalam barisan Kabinetnya yang belum diumumkan lagi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata beliau akan melihat semua kemungkinan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Kami akan melihat semua kemungkinan tetapi pada masa ini saya tidak mempertimbangkannya (memegang jawatan Menteri Kewangan),” katanya ketika ditemui Masjid Putra selepas menunaikan solat Jumaat, di sini hari ini.

Mengulas mengenai hari pertamanya sebagai Perdana Menteri secara rasmi, Anwar berkata: “”Bagus dan sibuk dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan.”

Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan selama lapan tahun antara 1990 hingga 1998 di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, pada sidang media pada hari pertamanya selepas mengambil alih Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Anwar berkata saiz Kabinetnya akan dikurangkan dan beliau juga sedang mendapatkan persetujuan daripada calon menteri untuk mengurangkan gaji mereka.

Anwar berkata pihak yang berkaitan akan mengemukakan senarai calon untuk beliau pertimbangkannya.

Tiga parti komponen terbesar membentuk Kerajaan Perpaduan ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata saiz Kabinet akan dikecilkan kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding 31 menteri di bawah pentadbiran sebelum ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

957
Previous post PN kekal pendirian tak sertai kerajaan, main peranan pembangkang berwibawa
Next post Ahli MT diberi peluang suarakan pandangan dalam mesyuarat khas Rabu lepas