Polis cari enam lelaki kes pergaduhan

0
1579
Polis Melaka mengesan enam lelaki dipercayai terbabit pergaduhan menggunakan parang hingga mengakibatkan seorang lelaki parah dalam kejadian 5 September lalu.

AYER KEROH 22 Okt – Polis Melaka mengesan enam lelaki dipercayai terbabit pergaduhan menggunakan parang hingga mengakibatkan seorang lelaki parah dalam kejadian 5 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, dalam kejadian pada jam 8 malam itu, polis menerima aduan mengenai pergaduhan membabitkan lelaki di Taman Sebang Mutiara Gadek, Alor Gajah.

Katanya, pergaduhan itu mengakibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun cedera di bahagian tangan dan kaki.

“Kejadian bermula apabila mangsa baru pulang memasuki halaman rumahnya di lokasi kejadian didatangi empat lelaki bersejatakan parang dengan menaiki dua kenderaan.

“Empat lelaki berkenaan turun daripada kenderaan dan menyerang mangsa sebelum dia melarikan diri.

“Pemeriksaan awal pasukan perubatan mendapati mangsa parah di bahagian tangan dan kaki akibat ditetak senjata tajam sebelum dia dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata susulan kejadian itu pihaknya melancarkan Op Cantas dan berjaya menahan lapan lelaki berusia 24 hingga 39 tahun dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah.

“Tiga suspek ditahan pada 6 dan 7 September lalu manakala lima lagi ditahan dalam serbuan pada jam 8 malam, Isnin lalu.

“Lima suspek yang ditahan Isnin lalu direman enam hari hingga Sabtu ini dan polis mengesan enam lagi lelaki yang masih bebas berusia antara 24 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Azlan berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata.

Jelasnya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu dan memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat bagi menahan individu yang masih bebas.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.