PM mahu kebajikan keluarga Allahyarham Mohd Diya terjaga

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KRUBONG 22 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi sumbangan peribadi kepada keluarga anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di kediamannya di Taman Krubong Jaya, hari ini.

Alahyarham Mohd Diya meninggal dunia setelah lemas dalam misi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat semalam.

Sumbangan berupa wang tunai itu diserahkan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad kepada isteri mangsa, Noraida Che Nor, 39.

Beliau turut meluangkan masa selama sejam untuk berbual bersama keluarga arwah dan bertanyakan tentang keperluan dan masalah yang dihadapi setelah pemergian Allahyarham Mohd Diya.

Syed Mohd Fazmi berkata, kedatangan mengunjungi keluarga Allahyarham Mohd Diya bagi menyampaikan takziah Perdana Menteri di atas insiden yang berlaku.

“Di kesempatan ini juga saya menyampaikan salam takziah daripada Perdana Menteri dan mendoakan supaya keluarga ini terus tabah meneruskan kehidupan mereka.

“Perdana Menteri menyatakan rasa dukacita mengenai insiden yang menimpa Allahyarham Mohd Diya yang terkorban dalam operasi menyelamat semalam,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat selaku majikan Allahyarham Mohd Diya telah diminta mengambil tindakan sewajarnya terutama dari aspek penjagaan kebajikan serta mengurusan urusan pengebumian dari awal hingga selesai.

Noraida Che Noh, (kanan) bersama anaknya Ain Balqis Mohd Diya, (kiri) menunjukkan gambar arwah Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang berkhidmat dalam anggota Bomba dan Penyelamat ketika ditemui di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka. Foto: MR. Azli

“Pihak Jabatan Bomba juga memaklumkan telah mengambil inisiatif dan bentuk bantuan dari segi kebajikan, tanggungan anak-anak arwah akan diselesaikan demi memastikan hal ehwal mereka terjaga.

“Pada masa yang sama, pihak majikan juga akan menguruskan soal pencen dan gratuiti arwah,” katanya.

Menurut Syed Mohd Fazmi, syarikat Ranhill Berhad telah mengambil inisiatif untuk mengambil empat anak Allahyarham berusia sembilan hingga 18 tahun sebagai anak angkat bagi membantu menjaga kebajikan pendidikan mereka sehingga dewasa kelak.

“Puan Noraida juga beritahu anak sulungnya yang berusia 18 tahun sangat meminati bidang automatif dan berhasrat menyambung pengajian di kolej vokasional.

“Oleh itu, kita akan cuba bantu menempatkan anak beliau dimana-mana kolej vokasional yang sesuai nanti,” katanya.

Allahyarham Che Diya dilaporkan kritikal selepas rebah ketika menyelamatkan mangsa banjir semalam menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka pada jam 3.11 pagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: PN bertanding di semua 28 DUN
Next post Polis cari enam lelaki kes pergaduhan
Ubah saiz-+=