Polis kenal pasti suspek pukul penunggang basikan guna batang besi

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

IPOH, 22 Mac – Polis telah mengenal pasti seorang lelaki yang memberhentikan kereta lalu dipercayai bertindak memukul seorang penunggang basikal menggunakan batang besi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Seri Manjung-Segari, Manjung menerusi video tular hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata siasatan awal mendapati, suspek berusia lingkungan 30-an yang berasal dari Batu Gajah itu, telah meminjam kenderaan terbabit daripada rakannya yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 50-an, dan berasal dari Ayer Tawar, Manjung.

“Menurut pemilik kenderaan itu, keretanya telah dipinjam oleh rakannya (suspek) pada 13 Mac dan telah memulangkannya.

“Mangsa merupakan seorang lelaki dipercayai warganegara asing yang masih belum dikenal pasti, dan sehingga kini masih belum tampil untuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini (tadi).

Beliau berkata punca kejadian masih disiasat dan suspek akan diambil keterangan esok bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menyeru dan memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk menghubungi Bilik Gerakan di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan polis.

Terdahulu, tular rakaman video di laman media sosial memaparkan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna biru, memukul seorang lelaki yang sedang menunggang basikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran dengan AEON Mall Seri Manjung.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

970
Kongsi :
Previous post 45,402 anggota, pesara PDRM terima pingat PJPN
Next post Pembukaan sempadan : Imigresen sediakan 970,000 buku pasport untuk pembaharuan pasport
Ubah saiz-+=