45,402 anggota, pesara PDRM terima pingat PJPN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SEREMBAN, 22 Mac – Seramai 45,402 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pelbagai pangkat termasuk pesara di seluruh negara dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass.

Beliau berkata penganugerahan itu merangkumi 16,421 anggota PDRM yang masih berkhidmat dan 28,981 pesara polis sebagai penghargaan atas pengorbanan serta bakti mereka kepada negara.

Katanya daripada jumlah itu, 12,981 anggota yang masih berkhidmat dan 13,530 pesara telah dianugerahkan pingat berkenaan.

“Bagi Kontinjen Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur penganugerahan telah selesai, selepas ini Kelantan dan Johor pada 30 Mac, manakala Sarawak sedang mendapatkan tarikh bersesuaian

Penganugerahan ini tidak mengira pangkat dengan Deputi Superitendan merupakan kategori tertinggi,” katanya selepas Majlis Istiadat Penganugerahan PJPN Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan yang turut dihadiri Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop di sini, hari ini (semalam).

Zaini berkata secara keseluruhan bagi kontinjen negeri ini, penerima PJPN yang masih berkhidmat terdiri daripada seorang pegawai Asisten Superitendan, Sub Inspektor (enam), Sarjan Mejar(15), Sarjan (56) dan Koperal (21).

Sementara itu, seorang pesara polis Sharudin Yusof, 73, menyifatkan penganugerahan tersebut adalah hadiah istimewa setelah meninggalkan pasukan beruniform itu 26 tahun lepas.

“Pengalaman bersama PDRM tidak akan saya lupakan terutama ketika bersama Pasukan F Cawangan Khas PDRM yang pernah menjadi ‘senjata sulit’ negara untuk menangani pemberontakan komunis.

Ketika itu saya terbabit secara langsung sebagai perisik dengan menyalurkan maklumat mengenai komunis kepada pihak berkuasa dan tiada siapa tahu kewujudan unit kami yang dikenali sebagai ‘Pasukan F’,” katanya yang menyertai PDRM pada 1969.

Sharudin berkata tugas terakhirnya adalah di Unit Cawangan Khas dengan pangkat Koperal sebelum bersara pada 1996.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1420
Kongsi :
Previous post FAM umum senarai akhir 25 pemain ke Singapura
Next post Polis kenal pasti suspek pukul penunggang basikan guna batang besi
Ubah saiz-+=