Polis kesan modus operandi penipuan baharu WhatsApp, babitkan kerugian lebih RM30,000

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR 1 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi baharu penipuan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk memperdaya mangsa melalui keadah penyamaran sebagai majikan.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, PDRM menerima dua kes penipuan berkenaan, melibatkan kerugian RM30,250.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, suspek akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai majikan dengan menggunakan gambar profil mirip dengan gambar majikan mereka itu kepada mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din. Foto PDRM.

“Mangsa yang percaya kemudiannya akan diarahkan untuk membuat pembelian kad ‘Google Play Gift’ yang boleh dibeli di kedai serbaneka dan menyerahkan maklumat nombor pin kad berkenaan kepada suspek.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati nombor telefon yang digunakan adalah berbeza dengan nombor sebenar milik majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, dalam usaha mencegah kes sedemikian, orang ramai diminta berwaspada apabila menerima mesej melalui WhatsApp atau panggilan daripada nombor tidak dikenali.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh kepada gambar profil sewenang-wenangnya dan perlu membuat semakan serta pengesahan terutamanya mesej-mesej melibatkan implikasi kewangan.

“Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat ‘CCID Response Center’ di talian 03-26101559/1599,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1130
Kongsi :
Previous post Pengunjung mula ke Zoo Melaka jam 9 pagi
Next post Rebah di PPV: Dua insiden waktu hampir sama punca kekeliruan
Ubah saiz-+=