Polis Melaka bantu 279 keluarga terputus bekalan makanan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 18 Julai – Tidak hanya menjaga keamanan dan kedaulatan negeri dan negara, malah Polis Melaka turut melaksanakan inisiatif kebajikan kepada rakyat.

Menerusi Op Bantu dilancarkan serentak di seluruh negara 7 Julai lalu, anggota dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Melaka telah bergerak menyampaikan bantuan kotak makanan khusus untuk membantu rakyat terkesan daripada pandemik COVID-19.

Ketua JPJKK negeri, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 279 kotak makanan selamat diedarkan kepada rakyat Melaka yang terputus bekalan makanan.

Jelasnya, bantuan kotak makanan itu telah diedarkan kepada penerima di seluruh pelosok negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama.

ASP Norasrina Johari, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti IPD Alor Gajah dan anggotanya menyampaikan bakul makanan kepada seorang penerima OKU di Alor Gajah.

“Jumlah itu merangkumi 93 kotak makanan di setiap daerah yang kita peruntukkan iaitu di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

“Tiada kriteria pemilihan penerima kita tetapkan dalam pengagihan sebaliknya kita akan bertindak mengedarkan bantuan itu apabila menerima permohonan daripada orang awam menerusi panggilan telefon atau WhatsApp,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mohd Hedzir menambah, pihaknya komited untuk meneruskan bantuan menerusi Op Bantu itu selagi peruntukan masih ada untuk disalurkan terus kepada rakyat yang terkesan.

Op Bantu merupakan inisiatif yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menyalurkan bantuan kepada mana-mana individu terputus bekalan makanan susulan penularan COVID-19 dalam negara.

Program itu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AMANITA PDRM serta dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

861
Kongsi :
Previous post Azizulhasni, lima doktor dikurnia gelaran datuk
Next post Lelaki ‘jual’ durian kampung RM500 sebiji
Ubah saiz-+=