Polis Melaka selesaikan 318 kes jenayah tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BEMBAN 14 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka berjaya menyelesaikan sebanyak 318 kes jenayah indeks daripada 605 kes yang direkodkan dalam tempoh Jan sehingga Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, jumlah itu sekali gus menunjukkan peratusan jenayah indeks Melaka yang berjaya diselesaikan adalah sebanyak 52.56 peratus.

“Jenayah indeks Negeri Melaka pada tahun lalu bagi tempoh Jan hingga Mei sebanyak 619 kes, manakala tahun ini 605 kes iaitu penurunan 2.26 peratus bagi tempoh yang sama.

“Bagaimanapun statistik jenayah di kawasan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 18 kes.

“Manakala bagi jenayah indeks di JAPERUN Bemban menunjukkan kadar yang sama pada tahun ini iaitu enam kes bagi tempoh Jan hingga Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Townhall Bembanku Maju Jaya yang dirasmikan Pengerusi Penyelaras Japerun Bemban, Datuk Wira Hasan Abd Rahman di Japerun Bemban di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datuk Shadan Othman dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.

Mengulas mengenai program tersebut, Zainol berkata, ia diadakan dalam usaha PDRM Melaka mendekatkan diri dengan masyarakat bagi mendengar sendiri masalah-masalah keselamatan yang dihadapi.

Katanya, Polis Melaka akan terus berikrar untuk mempergiatkan usaha menangani masalah jenayah di negeri ini sepanjang masa.

“Ini bagi memastikan kelestarian, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini terjamin.

“Segala usaha ini tidak hanya terletak di bahu PDRM, malah memerlukan peranan masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1002
Kongsi :
Previous post Acara kebudayaan mampu rancak pelancongan Melaka-Pulau Pinang
Next post Lapor JAPERUN jika tiada capaian internet
Ubah saiz-+=