Polis rampas arak bernilai RM118,691, tahan suami isteri warga Myanmar

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT MERTAJAM, 9 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang menahan sepasang suami isteri warga Myanmar dan merampas pelbagai jenis minuman keras bernilai RM118,691 termasuk cukai yang disimpan dan diniagakan tanpa kebenaran, dalam dua serbuan Op Kontraban di Taman Nagasari, Perai di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Pulau Pinang ACP Shamsol Kassim berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, sepasukan Unit Risikan Marin (URM) menyerbu dua premis berkenaan pada 11 pagi.

Beliau berkata dalam serbuan pertama ke atas sebuah rumah dua tingkat di taman berkenaan, polis menahan pasangan berumur 30 dan 40 tahun itu selepas menemukan 1,272 tin minuman keras pelbagai jenama di dalam rumah itu, dan dalam serbuan susulan di sebuah rumah di taman yang sama 3,960 tin lagi arak pelbagai jenama ditemukan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini beliau berkata kesemua 5,232 tin arak yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM118,691 termasuk cukai, dan pemeriksaan mendapati pasangan itu tidak mempunyai lesen untuk menjual dan menyimpan semua minuman keras berkenaan.

Shamsol berkata pasangan itu mengaku semua minuman keras itu adalah milik mereka dan dua buah rumah berkenaan memang dijadikan mereka sebagai stor menyimpan arak.

Katanya pasangan itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Beliau seterusnya meminta kerjasama orang ramai membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah termasuk penyeludupan rokok, dadah dan pendatang asing dengan menelefon 04-6558222.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1340
Kongsi :
Previous post Pusat Sehenti Gaharu bakal diperluaskan di seluruh negara
Next post Batik Air diminta selesai isu dalaman segera – EXCO
Ubah saiz-+=