Pusat Sehenti Gaharu bakal diperluaskan di seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

KUALA LINGGI 9 Jun – Pusat Sehenti Gaharu akan diwujudkan di seluruh negara bagi meningkatkan industri penanaman pokok karas dan penghasilan pati minyak gaharu bernilai tinggi.

Pusat sehenti itu akan menjadikan Pusat Sehenti Gaharu Melaka di Kuala Linggi, di sini sebagai model yang ditubuhkan melalui kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Biobenua Teknologi Sdn Bhd (Biobenua Teknologi).

Pengerusi MTIB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, lembaga itu memilih Biobenua Teknologi bagi melaksanakan kerjasama berkenaan berikutan penanaman pokok karas sebelum proses mendapatkan pati minyak gaharu yang sudah hampir lengkap.

“Buat masa ini, semua penanam kayu karas boleh mendapatkan khidmat nasihat dan mendalami kaedah untuk menghasilkan pati minyak gaharu di Biobenua Teknologi.

“Bagaimanapun, kita akan menubuhkan lebih banyak pusat sehenti seumpama ini di seluruh negara pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Sehenti Gaharu Melaka di ladang Biobenua Teknologi, di Kuala Linggi dekat sini hari ini.

Abdul Razak (kanan) dan Mahpar saling bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani MoU penubuhan Pusat Sehenti Gaharu Melaka di Biobenua Teknologi, Kuala Linggi, dekat Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

Turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penubuhan pusat itu antara MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mahpar Atan manakala Biobenua Teknologi diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Razak Ali.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Komersil) MTIB, Roslina Idris.

Hishamuddin berkata, selain berfungsi sebagai pusat rujukan maklumat berkaitan penanaman pokok karas dan penghasilan pati minyak gaharu, pusat berkenaan juga menyediakan pusat jualan produk gaharu.

“Pusat sehenti ini adalah sebahagian daripada sasaran program mengikut Teras Strategi Ke-5 (Promosi dan Perdagangan) Pelan Tindakan Pembangunan Industri Gaharu Malaysia 2011-2021,” katanya.

Selain itu, ia juga membantu program pembangunan modal insan dan usahawan berkaitan industri gaharu yang mampu memasarkan produk itu di dalam dan luar negara, katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, sejak memulakan industri berkenaan pada 2015, syarikat berkenaan menanam 10,000 pokok karas di ladangnya sendiri.

Selain itu, Biobenua Teknologi turut bekerjasama dengan pekebun kecil menanam 30,000 pokok karas di kawasan seluas kira-kira 16 hektar (kira-kira 40 ekar) di ladang yang sama, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2712
Kongsi :
Previous post Penganggur sebabkan kemalangan lima kenderaan didakwa miliki ganja
Next post Polis rampas arak bernilai RM118,691, tahan suami isteri warga Myanmar
Ubah saiz-+=