Polis rampas dadah bernilai RM43,000 dalam tempoh seminggu

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 30 Nov -Dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM43, 000 berjaya dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dalam tempoh seminggu, sehingga Ahad.

Ketua JSJN negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, keseluruhan dadah itu dirampas selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 November di sekitar negeri ini.

“Sepanjang tempoh itu seramai 15 individu termasuk seorang wanita turut ditahan selepas dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kesemua mereka berusia antara 23 hingga 61 tahun.

“Antara dadah yang dirampas disyaki heroin serta syabu dianggarkan kira-kira 2.3 kilogram (kg) dan pil Eramin 5 sebanyak 30 biji, yang jumah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM43, 117.80,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, rampasan dadah itu membabitkan sembilan kes dalam tempoh berkenaan dan kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, mengulas lanjut Zulkiflee berkata, sejak Januari hingga 28 November lalu, pihaknya berjaya merampas lebih 337 kg dadah.

“Dadah paling banyak direkodkan adalah syabu dengan berat lebih 316 kg dan diikuti heroin dengan anggaran berat hampir 19 kg.

“Selain itu sebanyak 197, 233 biji Ecstacy serta 660 biji Eramin 5 turut dirampas dan kesemua itu dianggarkan berjumlah RM14.64 juta,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil keberkesanan risikan dengan tangkapan yang berkualiti selain bantuan maklumat daripada orang awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post Cadangan bina penghadang tinggi di kediaman strata perlu diberi perhatian
Next post KPDNHEP Melaka rampas barangan bernilai RM108, 753
Ubah saiz-+=