Polis rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.67 juta

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KULIM, 31 Jan.- Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.67 juta selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang pada 27 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, semua suspek berumur 32 hingga 33 tahun itu ditahan dalam satu operasi khas yang dilancarkan JSJN Bukit Aman dan JSJN Kedah.

“Dalam serbuan secara serentak selama satu jam yang bermula 10.45 pagi itu, kita berjaya merampas dadah jenis ekstasi seberat 11.18 kilogram (kg); ketamin (17.8 kg); Erimin 5 (20.22 kg); minuman jus (20.15 kg) dan dadah jenis ‘mushroom’ seberat 410 gram.

“Polis turut merampas pelbagai aset sindiket yang bernilai RM488,400 antaranya tujuh kereta, sebuah motosikal berkuasa tinggi dan wang tunai berjumlah RM4,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini, hari ini.

Katanya, kumpulan yang aktif sejak hujung September tahun lalu itu disyaki menjalankan aktiviti pembungkusan dadah untuk kegunaan parti persendirian dan untuk pasaran di sekitar Kedah dan Pulau Pinang yang dianggarkan mampu digunakan oleh 198,036 penagih dadah.

“Penahanan semua suspek ini adalah susulan tangkapan yang dibuat pada Julai. Kita percaya mereka ini ada kaitan dengan sindiket di Selangor dan siasatan akan diteruskan dalam usaha untuk memutuskan sindiket bekalan dadah ini.

“Hasil ujian saringan urin juga mendapati dua suspek positif dadah jenis syabu dan ketamin. Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Views:

629
Kongsi :
Previous post Suasana pilu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka
Next post Polis bina khemah atas bukit, mudahkan pelajar akses internet
Ubah saiz-+=