Polis tahan lelaki dipercayai terlibat kes mayat wanita reput di Ipoh

IPOH, 16 Okt – Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan seorang wanita yang ditemukan Rabu lepas dalam keadaan reput di kawasan semak berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun di sini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 24 tahun yang juga teman lelaki mangsa itu ditahan berserta dengan beberapa barangan kes berkaitan kejadian itu di sebuah rumah di Taman Bersatu, Simpang Pulai dekat sini Khamis lalu.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kesan dicekik pada bahagian leher.

“Dengan tertangkapnya suspek ini yang dipercayai bertanggungjawab ke atas kematian mangsa, maka kes ini telah berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak bagi cadangan pertuduhan.

Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita ditemukan dalam kawasan semak, selepas pihaknya menerima maklumat pada 5.25 pagi Rabu lepas mengenai sebuah kereta yang terbabas di tepi longkang.

Mohd Yusri berkata semasa anggota polis tiba untuk menjalankan siasatan mengenai kemalangan itu, mereka telah menemukan satu mayat reput dalam kawasan semak dengan jarak lebih kurang dua meter dari lokasi kereta Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang lelaki itu terbabas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

726
Previous post Tingkat kawalan, elak ekosistem semulajadi rosak kerana ‘harta karun’
Next post PRU15: BN akan tampil 70 peratus muka baharu – Ahmad Zahid