PPV pandu lalu pertama dibuka di LTAM, Batu Berendam

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER MOLEK 16 Jun – Lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu yang pertama di negeri ini akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam dalam tempoh tiga minggu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, mengikut perancangan awal PPV pandu lalu itu akan beroperasi di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, namun terpaksa dipindahkan selepas penilaian dibuat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terhadap kesesuaian kawasan.

RAHMAD beramah mesra dengan penerima vaksin selepas disuntik di PPV JAPERUN Ayer Molek, di sini.

 

Katanya, berdasarkan penilaian JKN, Dewan Tun Ali tidak sesuai untuk dijadikan PPV pandu lalu berikutan penerima dos satu dan dua dilakukan secara serentak.

“Ini sekali gus mengakibatkan kesesakan di kawasan dewan terbabit.

“Bagi mengatasi masalah itu, kita putuskan untuk pindahkan PPV pandu lalu ke LTAM,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undang Negeri (DUN) Ayer Molek, di sini hari ini.

Menurutnya, PPV LTAM secara pandu lalu itu mampu menampung seramai 800 penerima vaksin sehari.

“PPV Composites Technology Research Malaysia (CTRM) antara tujuh PPV baharu yang mula beroperasi bagi suntikan fasa kedua dos pertama.

“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, penerima vaksin di CTRM, Batu Berendam akan menerima suntikan dos kedua di LTAM, Batu Berendam.

“Kalau ikut kapasiti PPV CTRM mampu melaksanakan 800 suntikan sehari, maknanya LTAM juga mampu mencapai 800 sehari,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, JKN dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melawat ke 20 lokasi bagi pemberian suntikan secara bergerak.

Jelasnya, pemberian vaksin secara bergerak itu melibatkan pusat jagaan warga emas dengan seramai kira-kira 647 penerima.

“Suntikan secara bergerak juga akan dilaksanakan ke peringkat kampung dalam masa terdekat dan ia sedang dirancang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

700
Kongsi :
Previous post Dua sekawan pusing Semenanjung, sebar mesej kemerdekaan
Next post Proses vaksinasi di PPV MMU lancar
Ubah saiz-+=