Dua sekawan pusing Semenanjung, sebar mesej kemerdekaan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

ALOR GAJAH 16 Jun – “Bila berkayuh orang tak pandang pun…tapi sebenarnya apabila melihat kibaran Jalur Gemilang diikat pada basikal, itu yang membuatkan ramai menghargai dan memberi penghormatan setiap kali melakukan kembara ini,” kata Ishak Mohamad, 59, yang mempelopori ‘Kembara Kayuhan Merdeka’ bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan di negara ini.

Anak jati Simpang Ampat, di sini, sehingga kini sudah melakukan lima kayuhan mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi menyebarkan mesej kemerdekaan bersama rakannya, Md. Nasir Ahmad, 64, yang dikenali sejak 1990.

Menurut Ishak, tahun ini mereka merancang kayuhan pada 16 Ogos, namun misi itu belum dimuktamadkan kerana keadaan semasa penularan COVID-19 dan larangan merentas negeri dan daerah.

Katanya, dia dan rakannya yang mesra disapa ‘Pak Nasir’ sudah melakukan 90 peratus persiapan bagi misi itu bagi menyampaikan mesej kemerdekaan kepada generasi muda di negara ini.

ANTARA lokasi pada awal kayuhan mengelilingi Semenanjung Malaysia. (Gambar diambil sebelum pandemik COVID-19).

“Bila dapat tahu tidak boleh merentas negeri, kami terus menghantar surat permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan pihak berkaitan untuk pelepasan bagi kayuhan seterusnya yang dijangka mengambil masa sebulan untuk mengelilingi Semenanjung Malaysia.

“Kami berharap diberi kebenaran kerana hanya kami berdua saja dan tidak melibatkan aktiviti berkumpulan, malah kami akan memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ishak berkata, menerusi kembara berbasikal itu mereka juga berpeluang mempromosikan tempat-tempat pelancongan menarik dan bersejarah di negara ini yang tidak diketengahkan.

Katanya, usia bukan penghalang sebaliknya, semangat yang tinggi serta sokongan masyarakat menjadi pembakar semangat buat mereka menjayakan misi itu.

ISHAK.

“Untuk misi kayuhan ini kami menggunakan modal hasil simpanan sendiri dan tidak ada apa-apa peruntukan diterima kerana semuanya disebabkan minat terhadap aktiviti lasak seperti ini sejak muda lagi.

“Setiap kali melakukan kayuhan dan singgah di mana-mana lokasi, sambutan penduduk amat baik terhadap kami sehinggakan ada yang sanggup membayarkan (kos) tempat tinggal.

“Ini cerminan sebenar perpaduan yang dizahirkan rakyat di negara ini, malah setiap pesanan mengenai erti kemerdekaan negara diterima ramai anak muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

558
Kongsi :
Previous post Babi hutan merayau dalam kampung
Next post PPV pandu lalu pertama dibuka di LTAM, Batu Berendam
Ubah saiz-+=