PRN Johor: Maszlee, Ab Mutalip bertanding empat penjuru di DUN Layang-layang

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KLUANG, 26 Feb – Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang Datuk Ab Mutalip Abd Rahim antara calon yang bertanding dalam pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengumuman calon-calon bagi DUN itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Hakim Abd Manap.

Maszlee mewakili PKR, Ab Mutalip bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) manakala dua lagi calon merupakan muka baharu iaitu seorang kontraktor sivil K.Alagathiran mewakili Perikatan Nasional (PN) dan aktivis Ahmad Shafiq Othaman merupakan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“(Calon) Pertama Dr Maszlee Malik daripada PKR, kedua Alagathiran daripada PN, ketiga adalah Datuk Ab Mutalip daripada BN dan keempat, Ahmad Shafiq daripada Pejuang,” katanya semasa mengumumkan nama calon bagi DUN Layang-Layang di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon, Maszlee dan Ab Mutalip menyambut baik pertembungan empat penjuru itu kerana ia menggambarkan sistem demokrasi sihat.

Mengenai hala tuju sekiranya diberi mandat, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata beliau bertekad untuk menjadikan Johor sebagai negeri berkependidikan dengan memastikan pendidikan di Johor adalah yang terbaik.

Ab Mutalip yang menjadi ADUN Layang-Layang sejak 2013 hingga 2018 pula berkata beliau akan meneruskan isu yang tertangguh seperti masalah perumahan di DUN berkenaan sebelum BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Bagi kepesatan ekonomi di Simpang Renggam ini, maka kita kena pastikan adanya sektor perumahan. Apabila ada sektor perumahan pastinya ada sektor industri seterusnya berkembang kepada sektor lain,” katanya.

Pada PRU14, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon BN Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan majoriti 364 undi menewaskan M.Murugan mewakili Pakatan Harapan dan Mohd Jubri Selamat (PAS).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 8 Mac.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Proses penamaan calon lancar, 239 calon bertanding
Next post PRN Johor: Wartawan dikompaun, diberi amaran kerana langgar SOP
Ubah saiz-+=