PRN Johor: MIC hasrat kekal tanding empat kerusi DUN

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

JOHOR BAHRU, 22 Feb – MIC berhasrat untuk kekal bertanding di empat kerusi tradisi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata hasrat itu akan disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad dalam satu pertemuan, esok.

Menteri Sumber Manusia itu berkata perjumpaan terbabit bagi memuktamadkan pembahagian kerusi.

“Presiden (MIC) telah sampaikan untuk kita kekal bertanding di kerusi yang kita tandingi sebelum ini.

“Kita di peringkat BN memang mengamalkan perkongsian kuasa dan kita akan membuat pilihan terbaik untuk parti dan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Usahawan TEKUN di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, MIC Johor memenangi kerusi DUN Tenggaroh dan Kahang manakala parti itu tewas kerusi DUN Gambir dan Skudai.

Ditanya mengenai permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, Saravanan berkata ia menjadi kebiasaan bagi pihak tertentu menuntut kerusi setiap kali menjelang pilihan raya.

Menurut Saravanan, mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang diingini tetapi pada akhirnya, pucuk pimpinan akan memutuskan perkara tersebut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1232
Kongsi :
Previous post KKM di peringkat akhir muktamad SOP pembukaan sempadan – Muhyiddin
Next post Dihalang lupus aset: Najib mohon ketepi injuksi mareva
Ubah saiz-+=