KKM di peringkat akhir muktamad SOP pembukaan sempadan – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PUTRAJAYA, 22 Feb – Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara untuk mendapat persetujuan Jemaah Menteri, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pengumuman mengenai pembukaan sempadan negara bakal dibuat dalam masa terdekat dan bekas perdana menteri itu turut berharap ia dapat dilaksanakan segera.

“Lagi cepat dibuka bagi saya adalah amat baik untuk pemulihan ekonomi negara. Jangan lambat. Lambat sehari kos bagi negara adalah amat besar untuk ditanggung, cepat buka untung pada Malaysia adalah amat banyak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini hari ini.

Beliau berkata selain sektor pelancongan, sektor lain seperti pendidikan dan pelancongan kesihatan antara yang terkesan dengan penutupan sempadan.

Muhyiddin berkata walaupun Malaysia antara 10 negara yang berjaya melaksanakan program vaksinasi COVID-19 dengan baik tetapi proses membuka sempadan agak lambat.

Beliau berkata negara lain seperti Australia sudah mula membuka sempadan negara mereka walaupun dari segi kadar vaksinasi masih kebelakang dari Malaysia.

Muhyiddin berkata walaupun ketika ini terdapat peningkatan kes positif COVID-19 serta bilangan kemasukan ke wad hospital, namun strategi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) serta pemberian dos penggalak menunjukkan keberkesanan dalam memberi perlindungan daripada jangkitan yang lebih teruk.

“Soal Omicron, seluruh dunia menghadapi masalah tetapi di Malaysia walaupun kes meningkat, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin beri penerangan mereka (KKM) mampu mengurus,” katanya.

Pada mesyuarat hari ini, Muhyiddin berkata MPN menyokong secara prinsip cadangan penambahbaikan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi berkenaan program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi yang meliputi aspek pengurangan ujian pengesanan yang disyaratkan dan pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Langkawi-Singapura.

MPN turut menyokong cadangan yang dikemukakan Dewan Perniagaan British Malaysia berkaitan pembangunan, pengambilan dan pengekalan bakat dalam menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini, kerana ia dapat membantu meningkatkan daya saing negara serta menggalakkan kerjasama di antara awam-swasta.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

670
Kongsi :
Previous post Nik Muhammad Zawawi akui dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS
Next post PRN Johor: MIC hasrat kekal tanding empat kerusi DUN
Ubah saiz-+=