PRN Johor: PAS Johor serah isu Najib Lep kepada PAS Pusat

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

JOHOR BAHRU, 27 Feb – PAS Johor tidak akan mencampuri isu penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir daripada parti itu, Najib Lep, yang bertanding sebagai calon Bebas di kawasan sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada PAS Pusat.

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussin berkata sebagai ahli parti itu, Najib perlu akur dengan keputusan kepimpinanan ‘memindahkan’ beliau ke kawasan lain meskipun yakin mampu mempertahan kerusi DUN Bukit Pasir.

“Justeru PAS Johor menyerahkan perkara ini kepada PAS Pusat untuk menyiasat dan mengambil tindakan dalam menyelesaikan hal ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bertanding sebagai calon Bebas, Najib akan menentang calon PAS Nur Iqbal Abdul Razak di kerusi DUN Bukit Pasir.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata keahlian Najib sebagai ahli parti itu telah gugur secara automatik.

Abdullah juga berkata keputusan PAS Pusat mencalonkannya di DUN lain telah dimaklumkan kepada Najib terlebih dahulu dan ia tidak dibuat pada saat-saat akhir.

“Kemungkinan untuk calon bertindak seperti itu (ingkar keputusan pimpinan) boleh berlaku, jadi kami tidak terkejut tetapi kita berasa terkilan kenapa dia buat keputusan tidak wajar begitu,” katanya sambil menambah PAS Johor sudah menghantar laporan berhubung isu itu kepada PAS Pusat dan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1054
Kongsi :
Previous post Polis akan tahan pemandu terbabit kemalangan maut empat sekeluarga
Next post Jumlah PPS, mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat petang ini
Ubah saiz-+=