Polis akan tahan pemandu terbabit kemalangan maut empat sekeluarga

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Polis akan menahan pemandu kereta pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan maut, mengorbankan empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung, di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata lelaki berusia 27 tahun itu, kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas cedera ringan akibat kemalangan tersebut.

“Pemandu yang bekerja sebagai mekanik itu akan ditahan selepas menerima rawatan dan ujian saringan air kencing dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, siasatan mendapati kemalangan kira-kira 11.20 pagi itu berlaku apabila kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dari arah Mahameru menghala Jalan Tun Razak, terbabas di selekoh sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

Menurutnya, kenderaan tersebut telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dinaiki empat sekeluarga.

“Akibat rempuhan itu, pemandu dan tiga penumpang berusia tiga hingga 32 tahun disahkan maut di lokasi oleh penolong pegawai perubatan HKL,” katanya.

Mangsa yang maut dalam kemalangan itu dikenali sebagai P. Milan Damani, 32, isterinya C.Tinisha, 31, dan dua anak mereka Rihaan Ivaan Damani (4) dan Ishaan Ivaan Damani (3).

Sarifudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) untuk bedah siasat.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1497
Kongsi :
Previous post Johor capai 70 peratus pemberian dos penggalak, beri perlindungan kepada pengundi
Next post PRN Johor: PAS Johor serah isu Najib Lep kepada PAS Pusat
Ubah saiz-+=