BLOK BAHARU TINGKAT KAPASITI HOSPITAL MELAKA KEPADA 1,619 KATIL

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PENGKALAN BATU 5 November – Kapasiti Hospital Melaka bakal meningkat kepada 1,619 katil menerusi pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak yang menyediakan tambahan 476 katil bagi membantu mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penambahan itu akan memperluas kapasiti hospital berkenaan yang ketika ini mempunyai 1,143 katil.

Menurut beliau, projek itu melibatkan kos pembangunan RM696 juta, manakala kos keseluruhan termasuk peralatan perubatan dan keperluan lain berjumlah RM723.9 juta.

“Yang ada sedia adalah 1,143, penambahan 476 menjadikan keseluruhannya adalah 1,619,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka kepada syarikat pelaksana, di sini, hari ini.

Hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dr. Dzulkefly berkata, pelaksanaan projek itu tidak memerlukan pemindahan sementara operasi atau decanting, sekali gus membolehkan perkhidmatan hospital sedia ada diteruskan sepanjang pembinaan.

Katanya, skop pembangunan merangkumi pembinaan blok baharu, infrastruktur mekanikal dan elektrikal, penyediaan peralatan perubatan serta kemudahan tempat letak kereta bertingkat.

6296427060032902723

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melihat pelan bangunan ketika menghadiri Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka, yang diadakan di Auditorium Sri Baiduri, Hospital Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dalam memastikan projek berjalan mengikut perancangan, beliau menegaskan pihak pengguna ditegah mengubah skop atau spesifikasi sesuka hati sehingga menjejaskan pelaksanaannya.

“Sebarang perubahan kritikal wajib melalui KSU dan juga Ketua Pengarah Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, proses sebelum pelaksanaan projek sudah mengambil masa panjang, justeru semua pihak perlu memberikan tumpuan bagi memastikan penyampaiannya tidak berdepan kelewatan lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) dielakkan, sebaliknya semua pihak berusaha mencapai penyiapan lebih awal atau Ahead of Time (AOT).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post HAMPIR 10 PROGRAM DIATUR DEKATI ANAK MUDA DURIAN TUNGGAL
Next post SST DISERAH, BLOK WANITA DAN KANAK-KANAK HOSPITAL MELAKA SASAR SIAP 2031