HAMPIR 10 PROGRAM DIATUR DEKATI ANAK MUDA DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 November – Pertemuan di pasar malam hingga pertandingan e-sukan, hampir 10 program disusun jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) bagi mendekati anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N09 Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa, yang bertanding atas nombor satu, berkata pendekatan itu membuka ruang untuk beliau menyantuni golongan muda menerusi aktiviti yang dekat dengan minat mereka.

Menurutnya, anak muda akan terus diberi keutamaan dalam agenda pembangunan insan di Durian Tunggal sekiranya beliau diberikan mandat.

“Pengundi muda dalam Durian Tunggal ini ramai. Kita juga menyantuni mereka dengan program bersama anak muda.

“Saya rasa hampir 10 program disusun oleh Pemuda untuk menyantuni anak-anak muda,” katanya ketika ditemui selepas program walkabout di Kampung Padang Keladi, di sini, semalam.

Mustafa berkata, antara pengisian yang dirancang ialah pertemuan bersama anak muda di pasar malam dan sesi sudut pidato atau Speaker’s Corner dengan penglibatan Pemuda serta Puteri.

Selain itu, katanya, pertandingan e-sukan dan aktiviti sukan padang turut disusun sebagai sebahagian aktiviti yang memberikan tumpuan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, pengisian itu akan disertai usaha turun padang supaya ia menjadi ruang untuk menjelaskan komitmen beliau mengutamakan golongan itu dalam pembangunan insan di Durian Tunggal.

“Saya yakin dengan program itu dan kita turun padang memberitahu bahawa anak muda akan tetap menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan insan di dalam Durian Tunggal, insya-Allah,” katanya.

Mengulas gerak kerja kempen, Mustafa berkata, pendekatan dari rumah ke rumah turut dilaksanakan termasuk di Kampung Pulau pada sebelah pagi sebelum beliau menyantuni penduduk Kampung Padang Keladi.

Menurutnya, pertemuan bersama jentera juga telah diadakan di beberapa kawasan termasuk Taman Angkasa Nuri dan PDM Gangsa.

Katanya, kerjasama pelbagai peringkat jentera membantu meluaskan pertemuan dengan pengundi sepanjang tempoh kempen menjelang 14 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

240
Kongsi :
Previous post DEEPAVALI: DISKAUN TOL 50 PERATUS RINGANKAN PERJALANAN BALIK KAMPUNG
Next post BLOK BAHARU TINGKAT KAPASITI HOSPITAL MELAKA KEPADA 1,619 KATIL