
SST DISERAH, BLOK WANITA DAN KANAK-KANAK HOSPITAL MELAKA SASAR SIAP 2031
PENGKALAN BATU 5 November – Surat Setuju Terima (SST) bagi pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka diserahkan kepada syarikat pelaksana hari ini, dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan pemantauan rapi bagi mengelakkan kelewatan projek.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan mempunyai tempoh pelaksanaan selama 260 minggu dan disasarkan siap pada November 2031.
Menurut beliau, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memberikan perhatian terhadap pelaksanaan projek bagi memastikan pembinaannya berjalan lancar.
“Jadi kita berharap pelaksanaan projek ini akan berjalan lancar dan kami akan pantau dengan rapi supaya kita mengelakkan kelewatan siapnya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan SST dan Surat Pelantikan Pengarah Projek bagi Projek Pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka di Auditorium Sri Baiduri, Hospital Melaka, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid.
Dalam ucapan pada majlis sama, Alexander memperincikan bahawa kontrak bernilai RM609.69 juta itu diberikan kepada sebuah syarikat kontraktor, dengan tempoh kontrak bermula 10 November ini hingga 4 November 2031.
Menurut beliau, projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu merangkumi pembinaan blok berkapasiti 476 katil untuk perkhidmatan pesakit dalam, pesakit luar dan sokongan perubatan.
“Skopnya turut melibatkan perobohan bangunan Institut Latihan Kejururawatan Kementerian Kesihatan Malaysia sedia ada, pembinaan parkir bertingkat, kemudahan pentadbiran, sistem teknologi maklumat dan komunikasi serta pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan bernilai RM75 juta.
“Apabila siap kelak, blok baharu itu dijangka menyediakan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi serta Pediatrik kepada antara 300 hingga 500 pesakit sehari, dengan manfaat meliputi penduduk Melaka, selatan Negeri Sembilan dan utara Johor,” katanya.
Nanta dalam ucapannya turut menegaskan kelewatan projek boleh meningkatkan kos serta menyebabkan orang ramai terpaksa menunggu lebih lama untuk menikmati kemudahan kesihatan yang diperlukan.
Sehubungan itu, beliau meminta kontraktor memastikan tenaga kerja, bahan binaan, jentera dan aliran tunai mencukupi, selain mengenal pasti risiko lebih awal serta mengambil tindakan pembetulan segera sekiranya berlaku kelewatan.
“Jangan sesekali mengorbankan kualiti dan keselamatan demi menjimatkan kos atau mengejar kemajuan,” tegasnya dalam ucapan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


