PRN Johor: PN muktamadkan senarai calonnya hari ini – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

JOHOR BAHRU, 18 Feb – Senarai calon yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan akan dimuktamadkan hari ini, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Soal senarai nama calon hari ini selesai, tiada sebarang masalah untuk kita bekerjasama kerana PN ada tiga parti sahaja untuk berbincang iaitu Bersatu, PAS dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi soal jawab dan sarapan bersama 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan di sebuah restoran di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Semalam, Presiden Gerakan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilaporkan berkata PN akan mengumumkan senarai calon mereka untuk PRN ini pada 23 Feb, iaitu tiga hari sebelum tarikh penamaan calon.

Mengenai kriteria calon PN, Muhyiddin berkata kelayakan akademik bukan satu-satunya yang akan melayakkan seseorang itu dipilih sebagai calon gabungan itu kerana aspek pengalaman dan kemahiran turut diambil kira.

“Jadi, kita ambil kira semuanya. Kelayakan akademik memang antara satu daripada syarat yang dipertimbangkan tetapi bukan satu-satunya,” kata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Mengulas rundingan pengagihan kerusi antara MUDA dan PKR yang menemui jalan buntu, Muhyiddin berkata parti baharu itu tidak seharusnya bergantung kepada kekuatan parti lain pada PRN berkenaan sebaliknya perlu pertanding secara solo bagi menguji kekuatan mereka.

Beliau berkata di Johor terdapat 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dan MUDA boleh memilih mana-mana kerusi yang difikirkan sesuai dan bertanding di kawasan itu kerana melalui cara itu parti itu boleh menguji kekuatan.

“Saya bukan penasihat undang-undang MUDA tetapi sebagai seorang yang berpengalaman, pada (pandangan saya) sewajarnya bila sudah tubuhkan parti politik baharu biarlah bertanding sendirian, boleh uji kekuatan, jadi mengapa mahu berunding dengan orang lain,” katanya.

Awal hari ini, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi satu kenyataan berkata rundingan rasmi antara kedua parti berkenaan disifatkan tamat susulan tindakan PKR mengumumkan calon untuk 20 kerusi yang akan ditandingi pada PRN itu.

Setakat ini, MUDA dijangka bertanding di enam kerusi DUN iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai dengan Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz telah dinamakan sebagai calon Puteri Wangsa.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post Isteri arwah Abam Bocey menang saman fitnah Ali Puteh
Next post Dua lelaki berpakaian wanita di Laman Mahkota Istana Bukit Serene ditahan
Ubah saiz-+=