Isteri arwah Abam Bocey menang saman fitnah Ali Puteh

Masa Membaca:3 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Isteri kepada Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali melakukan ‘sujud syukur’ selepas menang dalam kes samannya terhadap adik iparnya yang juga pelawak Ali Puteh berhubung kenyataan fitnah yang mengaibkan wanita itu dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman oleh Siti Nor Hidayah, 30, terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, dan memerintahkan lelaki itu membayar ganti rugi am RM60,000 kepada wanita berkenaan dan kos RM13,000.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Siti Nor Hidayah selaku plaintif untuk mendapat perintah injunksi bagi menghalang Syed Ali daripada menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadapnya.

Bagaimanapun, mahkamah menolak saman fitnah difailkan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya selaku plaintif terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah sebagai defendan dengan kos sebanyak RM13,000.

Tiga ahli keluarga itu ialah ibu Syed Ali, Allahyarham Sabariah Arshad; bapanya, Syed Mohd Ridzuan Syed Hassan dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah.

Zulqarnain dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat hantaran oleh Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 telah menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya, Siti Nor Hidayah.

“Ia adalah kata-kata yang amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah adalah spesies asing yang kerjanya merompak harta orang tanpa ada hati dan perasaan. Jika kata-kata seperti ‘kamu bodoh’ atau ‘kamu jahat’ boleh mengaibkan, apatah lagi perkataan ‘binatang’.

“Jika ditujukan kata-kata itu kepada pesakit yang uzur dan terlantar di hospital, dia akan cuba bangun dan mempertahankan maruahnya. Apatah lagi ia ditujukan kepada seorang wanita yang baru beberapa hari hilang tempat bergantung selepas kehilangan suami dan risau bagaimana ingin membesarkan anak kecil yang berusia lebih kurang setahun,” kata hakim itu.

Zulqarnain berkata setelah meneliti keterangan kesemua saksi, mahkamah berpuas hati bahawa pihak yang mengejar harta bukannya isteri arwah, sebaliknya ahli keluarganya.

“Ini jelas kerana pada hari kedua arwah meninggal, ahli keluarganya adalah pihak yang mengajak isteri arwah untuk berbincang mengenai harta arwah tanpa mengambil kira perasaan sedih isterinya. Telefon arwah diambil oleh Syed Ali dan beg duit arwah diambil oleh ibunya, (Allahyarham Sabariah).

“Perbuatan mereka seolah-olah tidak memahami kesedihan isteri arwah yang juga dalam dilema sedang memikirkan bagaimana untuk mengharungi masa depan dan membesarkan anak yang masih kecil,” katanya.

Zulqarnain berkata mahkamah tidak dapat menerima pembelaan kesemua plaintif bahawa isteri arwah tidak boleh menggunakan kereta arwah untuk balik kampung, tidak boleh mengambil wang di dalam dompet arwah, tidak boleh menggunakan telefon arwah atas alasan urusan harta pusaka belum dimuktamadkan.

“Mahkamah berpuas hati bahawa tiada apa-apa keterangan dikemukakan oleh kesemua plaintif yang menunjukkan bahawa ada undang-undang yang menyatakan sekiranya seorang suami meninggal, isteri dilarang sama sekali untuk menggunakan kereta suaminya walaupun untuk balik kampung, atau isteri dilarang mengambil wang di dalam dompet suami walaupun untuk kegunaan dan kebajikan anak ataupun isteri dilarang menggunakan telefon bimbit suaminya.

“Pada pendapat mahkamah, jika digunakan sekalipun kereta arwah suami atau mengambil wang suami untuk berbelanja, tiada apa yang melarang harta pusaka tidak boleh diagihkan atau diputuskan. la boleh diambil atau dipulangkan semula atau diperintahkan untuk memulang semula kemudiannya,” katanya.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati isteri arwah lebih memikirkan masa depan anak yang masih kecil dan wang RM10,000 yang diambil olehnya bukan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, sebaliknya ke dalam akaun anaknya.

Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri arwah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri arwah.

Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga menfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu.

Sementara itu, Siti Nor Hidayah yang diwakili peguam Mohamed Ibrahim Mohamad ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, dia bersyukur dengan keputusan hari ini yang berpihak kepadanya.

“Saya syukur sangat-sangat sebab hari ini, hari Jumaat. Saya maafkan apa yang orang kata pada saya. Terima kasih kerana mendoakan saya dan anak,” katanya dalam nada sebak.

Syed Ali yang hadir bersama peguamnya, Noorazmir Zakaria pula berkata beliau menghormati serta menerima dengan hati terbuka keputusan mahkamah dan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1813
Kongsi :
Previous post Rundingan kerusi MUDA-PKR ditamatkan, gagal capai sepakat berhubung agihan kerusi
Next post PRN Johor: PN muktamadkan senarai calonnya hari ini – Muhyiddin
Ubah saiz-+=