PRN Melaka: Cadang ketengah lebih ramai calon wanita

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 27 Okt – Wanita Barisan Nasional (BN) Melaka mencadangkan lebih ramai calon wanita diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 Nov depan.

Ketuanya, Datuk Wira Latipah Omar berkata, hal itu seiring dengan cadangan asal yang diperjuangkan sayap parti itu yang sebelum ini meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 28 calon yang bertanding adalah dalam kalangan wanita.

Beliau bagaimanapun berharap, pucuk pimpinan parti dapat mempertimbangkan sekurang-kurangnya seorang calon wanita setiap kawasan Parlimen di negeri itu untuk bertanding dalam PRN terbabit.

“Kita akan akur dengan setiap keputusan parti, di mana kita telah mencadangkan kepada pucuk kepemimpinan, namun terpulang kepada Pengerusi BN untuk menentukan kelak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning berkata, semua petugas Jalinan Rakyat (JR) di negeri ini sudah diperlengkapkan dengan pelbagai rangka kerja untuk memastikan pengundi memilih BN pada PRN itu.

Jelasnya, antara kaedah yang dirancang ialah dengan memastikan pengundi yang sudah dipastikan menyokong BN untuk keluar mengundi.

“Ahli kita terdiri daripada anggota JR akan mengambil mereka (pengundi) di rumah masing-masing untuk dibawa mereka ke pusat mengundi serta menghantar semula pulang ke rumah.

“Kita tidak boleh lagi duduk di pintu pagar dan hanya menjadi pencatat seseorang itu sudah keluar mengundi atau belum, sebaliknya akan pergi ke rumah mereka dan membawa mereka ke pusat mengundi.

“Cara itu akan dilakukan terus sehingga waktu mengundi tamat,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN Melaka mencalonkan tiga calon wanita membabitkan dua kerusi DUN dan satu Parlimen.

Latipah dicalonkan di kerusi DUN Taboh Naning, Datuk Wira Norpipah Abdol di kerusi DUN Rembia manakala Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin pula di kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post 94.8 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi
Next post Guru tadika rugi RM69,030 ditipu pembelian kucing di Facebook
Ubah saiz-+=