PRN Sarawak: SPR keluarkan 17,885 kertas undi pos

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUCHING, 11 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sejumlah 17,885 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 di semua 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, pengeluaran kertas undi pos itu dari Rabu hingga semalam dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua kawasan DUN seluruh negeri.

Daripada kesemua kertas undi pos yang dikeluarkan, sejumlah 16,728 adalah untuk petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media, 365 warganegara Malaysia di luar negara, 679 petugas agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 113 lagi pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum 5 petang pada Hari Mengundi iaitu 18 Dis ini.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

703
Kongsi :
Previous post Mufti Melaka: Awas gerakan ancam akidah umat Islam
Next post Enam pelajar terbabit buli ditahan polis
Ubah saiz-+=