Mufti Melaka: Awas gerakan ancam akidah umat Islam

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

TANJUNG BIDARA 11 Dis – Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil menegaskan, akidah umat Islam sekarang diancam pelbagai gerakan terancang seperti harimau yang menunggu waktu untuk menerkam mangsa.

Antara fahaman mengancam akidah ialah kecenderungan golongan tertentu yang bukan setakat kurang ilmu agama, malah mencuba mentafsir agama melalui logik fikiran.

Katanya, golongan terbabit tidak mahu menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sandaran untuk menaakul sesuatu aspek, sebaliknya hanya menggunakan akal yang terhad kemampuannya untuk membicarakan sesuatu aspek, termasuk yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam.

Beliau berkata, selain fahaman yang sudah difatwakan sesat seperti Syiah, Muktazilah, Khawarij, Wahabiah, pluralisme dan seumpamanya, serangan terhadap akidah umat Islam juga datang daripada musuh Islam yang menyokong aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Ibu bapa wajib mengawasi anak kerana walaupun anak kita duduk dalam bilik menghadap komputer atau telefon pintar, hanya jasad mereka berada dalam bilik tetapi fikiran mereka sudah jauh menerawang ke luar.

“Anak perempuan sekarang kalau kita cabar dia supaya keluar dari rumah macam yang dibuat oleh nenek moyang kita untuk mengajar anak, dia betul-betul keluar rumah dan sekejap saja teman lelakinya sudah bawa pergi entah ke mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Bicara Mufti Akidah Menyatukan Ummah anjuran Jabatan Mufti Melaka di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini malam tadi.

Ahli panel lain ialah Ahli Majlis Fatwa Melaka, Shukri Najib Abdul Rahim manakala moderator ialah Imam II masjid berkenaan, Mohd Zaid Khamis.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Pengerusi masjid, Datuk Abdul Mutallif Che Mat.

ABDUL Halim (tengah) yang dibantu Abdul Mutallif (kanan) menyampaikan sumbangan bahan makanan kepada asnaf pada program Bicara Mufti Akidah Menyatukan Ummah di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah.

Abdul Halim berkata, bagi membendung fahaman dan aktiviti itu, sekali gus memelihara akidah umat Islam daripada rosak, aspek pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan pemfatwaan fahaman yang menyesatkan umat Islam sentiasa dilakukan.

ABDUL Halim (tengah) bergambar kenangan dengan jemaah selepas Forum Bicara Mufti Akidah Menyatukan Ummah di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah.

Sementara itu, Shukri Najib berkata, Nabi Muhammad SAW memberi amaran kepada umat agar berwaspada terhadap pelbagai fahaman tidak benar selepas kewafatan baginda.

“Nabi bersabda, umat akhir zaman berpecah kepada 73 golongan dan 72 daripada golongan itu adalah sesat dan hanya satu yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Kalau akidah kita sama, iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada al-Quran dan sunnah, insya-Allah kita tidak berpecah-belah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1533
Kongsi :
Previous post Tedung selar ceroboh masuk rumah jiran
Next post PRN Sarawak: SPR keluarkan 17,885 kertas undi pos
Ubah saiz-+=