Sorting by

×

Tedung selar ceroboh masuk rumah jiran

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 Dis – Tindakan pantas seorang lelaki menghubungi talian kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menyelamatkan jirannya dari serangan ular tedung selar yang cuba menceroboh masuk ke dalam rumah di Kampung Solok Bangsal, Pantai Belimbing, di sini petang semalam.

Muhd Yusri Manan, 42, berkata, sewaktu kejadian dia bersama rakannya menunggang motosikal dan melalui rumah jirannya bernama Ah Huat yang ketika itu tidak berada di rumah kerana keluar bekerja.

Katanya, Ah Huat tidak tinggal di rumah tersebut tetapi sering pulang untuk membersihkan kawasan sekitar rumahnya.

“Ketika melalui rumah Ah Huat, saya ternampak ular tedung tersebut kira-kira panjang dua meter cuba masuk ke dalam rumah dengan memanjat pagar pintu dan dalam ketakutan, saya beranikan diri membaling batu ke arah ular dengan tujuan untuk menakut-nakutkannya.

“Mungkin kerana terkejut, ular itu menuruni pagar pintu dan bersembunyi di dalam sebuah gelung zink yang terletak di hadapan rumah,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut Yusri, dia kemudiannya menghubungi APM daerah Alor Gajah bagi mendapatkan bantuan untuk menangkap reptilia berbisa tersebut.

Dia yang bekerja sendiri itu berkata, mujur dia dan rakannya ternampak ular tersebut sedang menceroboh masuk ke dalam rumah Ah Huat sekali gus mengelak jirannya itu ditimpa kecelakaan.

“Saya tidak dapat bayangkan jika ular tersebut bersembunyi di belakang pakaian yang sering Ah Huat gunakan untuk berkebun memandangkan pakaian tersebut tergantung di tepi pintu tempat laluan ular tersebut.

“Namun, mujurlah kami berada tepat pada masanya dan membantu mengelak sebarang musibah yang mungkin menimpa Ah Huat,” ujarnya.

Yusri juga mendakwa dia dan penduduk kampung di situ pernah beberapa kali terserempak dengan ular tedung yang sama ketika reptilia tersebut melintasi jalan raya di situ.

Sementara itu, jurucakap APM daerah Alor Gajah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.45 petang semalam.

“Seramai lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

“Sebaik tiba di situ, kita dapati seekor ular tedung selar berat kira-kira tiga kilogram sedang bersembunyi dan bersalin kulit dalam sebuah gulungan zink dan kita berjaya menangkap ular tersebut dalam masa 30 minit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2618
Kongsi :
Previous post ATM tidak terima laporan rasmi ancaman penggodam luar – Hishammuddin
Next post Mufti Melaka: Awas gerakan ancam akidah umat Islam
Ubah saiz-+=