Produk warisan perlu diberi pendedahan meluas kepada anak muda

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 November – Setiap produk dan kraftangan yang dihasilkan menerusi warisan negeri ini wajar dipromosi oleh segenap lapisan masyarakat agar ia tidak dilupakan.

Malah, ia perlu didekati dengan perlaksanaan pelbagai program membabitkan penyertaan komuniti terutama anak muda agar mereka terus didedahkan dan mempelajari seni yang menjadi khazanah negeri ini.

Bagi, Mohd Hairie Sulaiman, 36, berkata, anak muda sepertinya wajar didedahkan dengan karya adat dan warisan di negeri ini berikutan ramai golongan sepertinya mula tidak mengenali dan mengetahui ilmu produk warisan yang mampu membawa pulangan dalam pasaran.

“Saya yang berasal dari Putrajaya melihat warisan ini perlu diperhebatkan, seperti ilmu anyaman ketupat bukannya mudah kalau dipelajari dalam sehari tetapi jika kita mempunyai tumpuan dan masa ia pasti akan membawa hasil.

“Pengalaman pertama menganyam ketupat ini bukanlah mudah biarpun sebelum ini hanya umum mengetahu mengenai makanan tradisional ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Kampung Morten, di sini hari ini.

Mohd Hairie yang merupakan salah seorang peserta dalam program Melaka Heritage Race 2022, meluahkan rasa syukurnya apabila program bermanfaat itu menerima suntikan kepada peserta untuk didekati dengan pendedahan produk warisan negeri ini.

“Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia melibatkan pendekatan mudah antara anak muda dan kekayaan budaya dan warisan di Melaka,” katanya.

CCA8F5AF-FF78-450E-BD7C-2407C16EFE18
Peserta, Mohd Hairie Sulaiman, 36. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu dalam program diadakan itu, membabitkan penyertaan 100 peserta dari pelbagai negeri itu memulakan perlumbaan meneroka warisan Negeri Melaka sejak jam 7.30 pagi tadi telah dilepaskan oleh Yang di Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Dalam program perlumbaan itu, Kampung Morten merupakan antara enam lokasi yang menjadi titik persinggahan peserta untuk melengkapi pertandingan yang mendedahkan peserta kepada kepelbagaian warisan dan kebudayaan dari etnik utama di negeri ini.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Morten, Norsimah Jantan, 65, berkata, pihaknya menyambut baik dalam program diadakan itu sekali gus menaikkan nama kampung warisan itu di serata dunia.

Katanya, biarpun program seperti membudayakan adat resam orang Melayu sering diadakan di kampung itu pihaknya nekad akan terus bekerjasama bagi memastikan warisan itu tidak hilang pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, syukur dan gembira kerana program seperti ini dapat terus diadakan dan berharap ia akan dikekalkan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1836
Kongsi :
Previous post Warisan tidak ketara Melaka semakin berkurangan
Next post Sektor pelancongan kembali rancak dengan kerajaan baharu
Ubah saiz-+=