Warisan tidak ketara Melaka semakin berkurangan

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 November – Produk warisan tidak ketara membabitkan di beberapa kawasan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) akan terus diperkasakan bagi memastikan ia tidak terus hilang akibat peredaran zaman.

Pengurus Besar Melaka World Heritage Sdn. Bhd. Ernie Hamsah berkata, ia perlu dilaksanakan sewajarnya berikutan mendapati beberapa warisan daripada 30 yang disenaraikan disifatkan semakin pupus akibat tiada pelapis yang mewarisi khazanah terbabit.

Jelasnya, bagi merealisasikan hasrat berkenaan pihaknya mengambil langkah mendekati komuniti dan golongan yang terlibat dalam kawasan Unesco bagi melihat dan mendengar hasrat mereka untuk memastikan ia dapat terus diperkasakan.

“Dalam tempoh ini kita dalam proses mendekati mereka untuk sama-sama kita bangunkan dan rapatkan hubungan antara penggiat dan komuniti ini untuk mempromosikan lagi produk-produk yang dihasilkan.

“Jika dahulu terdapat 30 senarai yang berada di bawah garis panduan pertubuhan itu yang mengikitraf Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia namun hari ini ia dilihat semakin berkurang disebabkan beberapa faktor antaranya faktor usia dan tiada pelapis yang mahu meneruskan warisan tidak ketara ini.

“Cuma ada beberapa pewaris yang tinggal sekarang seperti tukang besi, tukang membuat logam dan rotan serta beberapa lagi yang masih ada di Melaka malah ada antara mereka sedang membina semula perniagaan dan perusaahaan mereka setelah berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Melaka Heritage Race 2022 diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini hari ini.

25E23127-39C3-403D-9D62-B902A5D5CC86
Pengurus Besar Melaka World Heritage Sdn. Bhd. Ernie Hamsah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, program yang diadakan membabitkan penyertaan 100 peserta dari pelbagai negeri itu memulakan perlumbaan meneroka warisan Negeri Melaka sejak jam 7.30 pagi tadi.

Program itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut Ernie berkata, antara 30 senarai warisan tidak ketara di negeri ini adalah tukang emas, Chettiar, tukang keranda, tukang kasut manik, tukang sulam kebaya Nyonya, penjual peralatan sembahyang (bukan Islam), pembuat kulit popiah, Pengukir kayu serta pelbagai lagi.

Ujarnya, program julung kali diadakan kali ini merupakan langkah pertama agensi itu untuk mendekati komuniti yang berada di bawah Unesco bagi memastikan segala produk yang dihasilkan mampu diperkenalkan semula kepada pengunjung di negeri ini.

“Konsep dan pengisian program ini agak berbeza dengan menjalankan perlumbaan mencari harta karun dengan kerjasama komuniti setempat membabtikan enam etnik di Melaka iaitu Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya dan Chetti.

“Menerusi program ini 25 kumpulan disertai daripada orang awam dan kakitangan pelbagai agensi termasuk dari Pulau Pinang, Perak, Johor, Melaka dan Selangor ini akan melaksanakan beberapa aktiviti kebudayaan untuk melengkapkan eksplorasi mereka.

“Perlumbaan dijangka berakhir sekitar jam 4.30 petang dan menawarkan RM1,600 bagi Johan, diikuti RM1,200 bagi tempat kedua, RM800 bagi tempat ketiga manakala saguhati masing-masing akan menerima RM150 bagi pertandingan kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2804
Kongsi :
Previous post Sokongan ibu bapa penting dalam kecemerlangan kurikulum
Next post Produk warisan perlu diberi pendedahan meluas kepada anak muda
Ubah saiz-+=