Sokongan ibu bapa penting dalam kecemerlangan kurikulum

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MOLEK 26 November – Sokongan ibu bapa terhadap murid dalam pembabitan aktiviti kokurikulum amat penting bagi memastikan kecemerlangan anak mereka dalam bidang itu.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Utama Munira M Yusop berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan arah tuju serta corak pendidikan yang hendak diberikan kepada anak-anak.

Beliau berkata, selain daripada kecerdasan minda,  kecergasan jasmani juga tidak kurang pentingnya dalam sistem pendidikan negara.

“Saya berharap, tuan-tuan dan puan-puan dapat memberikan sokongan kepada anak-anak untuk bergiat cergas dalam aktiviti kokurikulum kerana potensi serta penglibatan murid dalam bidang ini akan membantu mereka mencipta kecemerlangan dalam kurikulum.

“Momentum seperti inilah yang kita perlukan agar anak-anak sentiasa cerdas dan cergas sama ada di sekolah mahupun di rumah, sekali gus akan melahirkan pelajar minda kelas pertama yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, pada Kejohanan Sukaneka Tadika JAIM Peringkat Negeri Melaka 2022 yang turut dihadiri Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek, hari ini.

Munira berkata, Kerajaan Negeri amat cakna dan mengambil berat terhadap sektor pendidikan di negeri ini selain ia seiring  dengan hasrat untuk menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan yang terunggul di rantau ini.

“Kejohanan sukaneka yang diadakan ini bukan sekadar dapat mengukur kemampuan anak-anak kita yang bertanding bahkan juga mampu membina keyakinan diri serta suntikan kreativiti serta inovasi dalam kalangan murid Tadika JAIM.

“Elemen ini sangat penting bagi mengiktiraf  kebolehmampuan berfikir dalam menjana kemenjadian murid yang cemerlang dan bersahsiah mulia,” katanya.

Terdahulu, pada kejohanan itu seramai 840 murid Tadika JAIM menyertai sukaneka membabitkan mereka berusia lima dan enam tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1923
Kongsi :
Previous post 4,000 penyokong JDT bakal gamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini
Next post Warisan tidak ketara Melaka semakin berkurangan
Ubah saiz-+=