Program Care IPT TAPEM bantu 90,626 anak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Inisiatif Bantuan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau dikenali Program CARE IPT yang diperkenalkan Kerajaan Negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) memberi manfaat kepada hampir 91,000 pelajar kelahiran Melaka sejak tahun 2008.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program berkenaan adalah salah satu daripada 11 produk bantuan dan sumbangan disediakan Kerajaan Negeri kepada anak Melaka untuk melanjutkan pengajian ke IPT.

Katanya, sejak tahun 2000, Kerajaan Negeri telah membantu anak-anak Melaka untuk mendapatkan pinjaman wang pengajian tinggi membabitkan peruntukan berjumlah RM220.6 juta kepada hampir 15,797 pelajar.

“Tidak terhenti di situ, Program CARE IPT diperkenalkan dan kadar bantuan ditambah baik bermula tahun 2023 dengan menetapkan kadar baharu yang mana kadar bantuan bagi peringkat diploma dinaikkan daripada RM300 kepada RM400, manakala dperingkat ijazah, sarjana serta Doktor Falsafah (PhD) dinaikkan daripada RM400 kepada RM600.

“Selain itu, mana-mana mahasiswa anak Melaka yang melanjutkan pelajaran pelbagai peringkat di Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dan Kolej Antarabangsa Sains Dan Teknologi Melaka (MiCoST) pula akan diberi RM1,000 setiap seorang secara ‘one off’.

“Keseluruhan peruntukan bantuan kewangan Program CARE IPT ini telah memberi manfaat kepada seramai 90,626 orang pelajar melibatkan jumlah bantuan RM33.205 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Townhall Bersama Anak Melaka di perkarangan Masjid Al-Alami, MITC di sini,

Hadir sama Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata peruntukan pendidikan berjumlah RM14.5 juta termasuk insentif ‘Bijak Ijazah’ bernilai RM1,000 bagi anak Melaka yang mendapat ijazah kelas pertama turut disediakan.

“Hari ini cukup istimewa kerana kita akan meraikan seramai 177 orang mahasiswa kategori B40 daripada 15 universiti seluruh Malaysia yang layak menerima bantuan sumbangan Aidilfitri ikhlas daripada saya sendiri dengan peruntukan kewangan sejumlah RM17,700 ringgit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post Edar kanabis, lelaki dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan
Next post Melaka selamatkan hampir 3 tan lebihan makanan
Ubah saiz-+=